PERUTUSAN DEKAN

PROF. MADYA DR. ABDUL HALIM BIN HUSAIN
Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah
Salam Sejahtera. Program Pengajian Pasca Siswazah ASWARA telah dilaksanakan pada Oktober 2013 dengan pengambilan kumpulan pelajar pertama di tahap Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah. Ia dmulakan dengan kewujudan asal sebuah pusat yang dinamakan sebagai Pusat Penyelidikan, Kecemerlangan dan Kesarjanaan Artistik pada tahun 2012. Program Pengajian Pasca Siswazah ASWARA kemudiannya telah dirasmikan pada 27 Mac 2014. Ketika ini terdapat seramai 57 orang pelajar pascasiswazah ASWARA yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Seni Kreatif dan Ijazah Doktor Falsafah Seni Kreatif. Program Ijazah Sarjana Seni Kreatif menggunapakai Mod Campuran manakala Ijazah Doktor Falsafah Seni Kreatif pula menggunakan Mod Penyelidikan sepenuhnya. Kedua-dua tahap pengajian ini mengaplikasikan Rekabentuk Penyelidikan Berasaskan Seni atau Arts Based Research dalam struktur program pengajian yang ditawarkan. Sehingga kini Pusat Pengajian Pasca Siswazah ASWARA telah melahirkan 10 orang pemegang Ijazah Sarjana Seni Kreatif dan 3 orang pemegang Ijazah Doktor Falsafah Seni Kreatif di dalam pelbagai bidang kesenian. Pusat ini yakin pendekatan dan struktur pengajian yang unik melalui Penyelidikan Berasaskan Seni akan menjadi pilihan utama kepada ahli akademik dan penggiat seni yang bercadang untuk melanjutkan pengajian di tahap sarjana dan doktor falsafah. Pihak Pusat Pengajian Pasca Siswazah ASWARA berharap dengan adanya Rekabentuk Penyelidikan Berasaskan Seni dapat membantu bersama-sama mengangkat bidang penyelidikan kesenian melalui paradigma yang betul dan bersesuaian dengan disiplin ilmu kesenian sebagai bidang ilmu pengetahuan. Pusat Pengajian Pasca Siswazah ASWARA yakin dan berharap bidang kesenian akan lebih dinamik dan dapat membina “Body of Knowledge” yang cemerlang di masa hadapan melalui penyelidikan.
MELANGKAH KE HADAPAN BERSAMA TRADISI
“Berjiwa Ilmuwan, Berfikir Budayawan, Bertindak Usahawan”